Jumaat, 10 Ogos 2012

Peranan Pengetua Sekolah


Pengetua sekolah adalah merupakan kakitangan yang terpenting di peringkat sekolah kerana peranannya sebagai pemimpin, pentadbir dan pengurus sekolah. Pengetua merupakan jawatan yang tertinggi di peringkat sekolah menengah, dilantik oleh Kementerian Pendidikan, bertanggungjawab atas apa yang berlaku di sekolah dan persekitarannya. (Jemaah Nazir Sekolah-Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan, 1993). 
  
Pengetua sekolah di Malaysia bertanggungjawab dalam hal-hal yang berkaitan dengan sekolah termasuklah (Hussien, 1993, p 21):
(a) berusaha bagi mencapai dasar pendidikan diperingkat sekolah;
(b) mengurus dan mentadbir sekolah, kurikulum, kokurikulum,
kebajikan pelajar, guru dan staf sokongan sekolah;
(c) menyediakan khidmat bantu yang secukupnya bagi
meningkatkan pengajaran dan pembelajaran; dan;
(d) mewujudkan dan memajukan iklim dan budaya sekolah

Manakala tugas pengetua pula seperti yang disediakan oleh Bahagian
Sekolah meliputi tujuh bidang utama iaitu:
(a) Pengurusan kegiatan kurikulum, kokurikulum dan hal ehwal
pelajar.
(b) Pengurusan sekolah (pentadbiran, kewangan, perkhidmatan dan
perjawatan)
(c) Menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran.
(d) Perhubungan dengan ibu bapa dan masyarakat setempat.
(e) Kemajuan sekolah
(f) Pengajaran
(g) Kepimpinan pengajaran dan penyelidikan pendidikan. 


Dengan tugas yang dipikul oleh pengetua dalam pelbagai tidak dapat tidak  diagihkan kepada guru-guru sekolah di bawahnya. Ini mengujudkan kekangan jika tidak dikendalikan dengan betul.

Pengetua Sebagai Pengurus Guru
Kepimpinan dalam mana-mana organisasi, beroperasi melalui orang lain. Dalam konteks sekolah, guru lah yang menjalankan arahan Kementerian melalui ‘empowerment’ dari pengetua. Dengan kesedaran bahawa guru merupakan asset sumber manusia yang penting, pengetahuan tentang pengurusan kemanusiaan amat penting, supaya tidak wujud tekanan dan kekangan keterlaluan antara guru-guru di sekolah. 
   
Dalam perlaksanaan kurikulum baru, pihak yang mendapat kesan ialah murid, sementara yang terlibat dengan perubahan ini ialah guru. Menurut Hord (1986) sebarang perlaksanaan ke arah perubahan ini hendaklah dilakukan secara bijaksana dengan mengambil kira usaha sama antara pemimpin dengan stafnya (guru). Kegagalan dalam menangani masalah seperti keperluan asas guru samaada dalam bentuk material dan psikologi boleh membantutkan ke arah usaha ini secara berkesan.
  
Dalam melaksanakan tugas, pengetua perlu mempunyai kebolehan mengurus pelbagai peranan yang mereka perlu lakonkan dalam proses perlaksanaanya (Small, 1974). Oleh hal yang demikian, kemahiran pengetua dalam ‘membaca’ segala aspek dari guru di bawah pimpinannya adalah penting, ini termasuk kemahiran yang ada sesuai dengan tugas yang dipikul, pengagihan tugas, sikap, keperluan perlulah diambil kira, supaya tekanan yang timbul daripada konflik peranan tidak timbul.

 Kepimpinan Pengetua Penggerak Keberkesanan Organisasi
Kecermerlangan sesebuah sekolah berpunca kepada kepimpinan pengetuanya. Menurut Tay (1984) kejayaan sistem pentadbiran sebuah sekolah bergantung kepada kualiti kemudahan dalam sekolah, kualiti kurikulum, sumber pengajaran, kualiti kepimpinan pengetua dan kemahiran profesional guru-gurunya. Menurut beliau, pembentukan organisasi sekolah berkesan sangat bergantung kepada kepimpinan pengetuanya. Stoghill (1974) pula menyatakan kepimpinan yang cekap dan berkesan akan dapat meningkatkan kemajuan dan kejayaan sesuatu organisasi. Ini disebabkan tingkah laku dan gaya kepimpinan yang diamalkan oleh seorang pemimpin itu akan mempengaruhi suasana dan semangat kerja pekerja-pekerja di bawahnya.
  
Edmon (1979) merumuskan bahawa salah satu daripada lima ciri sekolah berkesan adalah keutuhan pimpinan pengetua. Pernyataan ini disokong oleh Nor Azian (1994) yang menyatakan bahawa kepimpinan pengetua merupakan salah satu aspek penting dalam pencapaian kecermerlangan sekolah.
   
Pengetua Sebagai Penyederhanaan Tekanan Kerja Guru
 Walaupun selama ini ketegangan dikatakan banyak berlaku dalam bidang perdagangan dan perindustrian namun bidang lain seperti pendidikan juga tidak dapat lari daripadanya. Pengetua sekolah yang hampir sama kedudukannya dengan pengurus pertengahan mengalami tekanan dari banyak pihak.  Pengetua juga bertindak sebagai penyerap kejutan dalam sistem pendidikan akibat daripada pertentangan kehendak dari semua peringkat (Moser 1974). 
  
Pengetua dianggap sebagai nadi sesebuah sekolah di mana sekiranya corak kepimpinannya dapat memberi kepuasan kepada semua kakitangannya yang terdiri dari guru-guru dan bukan guru akan mewujudkan suasana kerja yang menyeronokkan dan secara tidak langsung prestasi guru dan kakitangan lain akan meningkat. 

0 ulasan: