Ahad, 1 April 2012

AUTORITI PEMIMPIN DAN KEPENTINGAN DALAM ORGANISASI


Autoriti adalah hak yang sah dimiliki oleh seseorang individu untuk mempengaruhi dan menukar tingkah laku seseorang. Oleh itu, autoriti dikatakan sesuatu yang amat penting dalam sesebuah organisasi bagi menentukan kelancaran dan keberkesanan sesuatu proses terutamanya dalam organisasi . Organisasi yang berjaya dapat dilihat apabila seseorang pemimpin yang diiktiraf mempunyai hak dan kuasa dalam menentukan tanggungjawab dan peranan orang bawahan dan mereka juga mampu menurut perintah. Dengan kata lain, keberkesanannya berdasarkan pengiktirafan orang bawahan. Pemimpin yang mempunyai autoriti yang berkesan menyebabkan orang bawahan tidak berasa sangsi akan kebolehan ketua mereka dan dengan itu, seseorang pemimpin haruslah berkorban menjaga imej dan kedudukannya dengan memperlihatkan perilaku serta tindak-tanduk yang baik dan rasional. Kuasa sah atau kuasa pentadbir iaitu autoriti yang ada pada pemimpin dan kuasa kepakaran merupakan langkah terbaik untuk dipraktikkan dalam sesebuah organisasi formal terutamanya sebagai medium untuk memberi arahan kepada orang bawahan tetapi untuk kesan terbaik, hanya satu kuasa perlu dipraktikkan dalam situasi tertentu. Terlalu banyak kuasa dipraktikkahn dalam sesuatu masa akan menyebabkan kecelaruan kepemimpinan dan sub ordinat menjadi mangsa keadaan.

Dalam organisasi pendidikan Malaysia yang mengamalkan sistem birokrasi, keberkesanan autoriti formal dapat diukur apabila guru, pelajar dan kakitangan sekolah sanggup menerima arahan daripada pengetua atau guru besar. Begitu juga dengan pengetua di mana beliau perlu mengikut tunjuk ajar dan arahan daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN). Di sini dapat kita lihat apabila setiap tahap dalam organisasi ini menjalankan tanggungjawab masing-masing, autoriti itu dikatakan agak berjaya. Di sekolah, pengetua dilantik sesuai dengan kehendak atau keperluan tertentu dan mereka diberi autoriti yang sah untuk menugaskan guru-guru menjalankan tanggungjawab mereka serta mengharapkan mereka menurut perintahnya. Dalam keadaan ini, guru dan pelajar hendaklah bertindak balas secara positif dengan arahan yang telah diberi oleh pengetua. Jadi guru seharusnya berasa bertanggungjawab untuk menerima arahan sekiranya itu memang sebahagian daripada tanggungjawab mereka dan begitu juga dengan seseorang pelajar hanya menurut perintah guru sekiranya arahan tersebut betul-betul sah dan dapat diterima akal. Dalam keadaan ini pengetua atau guru besar menggunakan autoriti formal yang ada padanya untuk mengawal guru dan pelajar. Menurut Bernad (1938), autoriti akan diterima jika kakitangan memahami arahan tersebut dan melihat arahan tersebut sebagai selaras dengan matlamat organisasi. Pada masa yang sama, ia seiring dengan minatnya, maka ia boleh dilaksanakan secara fizikal dan mental.

Suatu peringatan, autoriti juga mempunyai kelemahan tersendiri kerana autoriti merupakan hak untuk mengarah bukan kuasa untuk mengarah. Dalam keadaan ini, seseorang pemimpin itu hanya berhak untuk mengarah kakitangannya melaksanakan tugas mereka kerana kedudukan atau jawatan yang disandangnya tetapi beliau tidak mempunyai kuasa ke atas subordinatnya terutamanya untuk meningkatkan prestasi kerja ke tahap maksimum. Hal ini kerana kakitangan bawahannya mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Kita ambil contoh situasi di sekolah di mana pengetua merupakan pentadbir kepada guru-guru yang berkelayakan dalam pelbagai bidang seperti matematik, fizik, sains dan sebagainya. Dalam konteks ini, walaupun mempunyai kuasa sah, pemimpin tersebut hanya berhak mengarahkan guru-guru tersebut menjalankan tugas masing-masing bukannya berkuasa mengarahkan guru-guru itu membuat sesuatu dalam bidang yang diceburi oleh guru-guru itu mengikut petunjuk pengetua tersebut. Hal ini kerana guru-guru di sekolah itu lebih pakar dan mengetahui dengan mendalam dalam bidang masing-masing berbanding dengan pengetua. Autoriti juga dikatakan gagal apabila keputusan yang dibuat oleh pemimpin ditolak atau tidak diiktiraf oleh orang yang dipimpin.

Apakah yang akan berlaku sekiranya tiada autoriti di dalam sesebuah organisasi sosial? Secara amnya, autoriti ialah hak mengubah tingkah laku subordinat di mana mereka akan mengikut arahan yang diberi oleh pemimpin, dan mengizinkan tingkahlaku mereka dibimbing oleh pemimpin. Prof Herbert Simon dalam bukunya Authority, Power and Influence menyatakan bahawa dua cara mempengaruhi orang bawahan ialah membuat keputusan yang tepat dan memaksa kakitangan dalam membuat keputusan yang penting. Sekiranya tiada autoriti dalam sesebuah organisasi pemimpin tidak dapat memimpin dan membentuk pengikutnya dengan baik kerana dia tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian. Maka pengikut akan melakukan apa saja mengikut kehendaknya sendiri tanpa mengambil kira pertimbangan orang lain. Organisasi tersebut menjadi tidak seragam dan kucar-kacir kerana tidak dipimpin oleh seorang ketua yang mempunyai autoriti. Secara amnya matlamat pemimpin tersebut sukar untuk dicapai sekiranya tiada kerjasama dari kakitangannya. Hal ini kerana autoriti dan kuasa adalah dua aspek penting dalam sesebuah organisasi. Kawalan pemimpin terhadap para kakitangan juga berkurang kerana pemimpin tidak ada hak untuk mengubah kakitangannya, dia hanya dapat memberikan pandangan tetapi perlaksanaan bergantung kepada kakitangannya. Mutu kerja dan hubungan kakitangan juga merosot kerana mereka lebih mementingkan hal masing-masing kerana tahu bahawa ketua mereka tidak mempunyai hak untuk mempengaruhi mereka. Sekiranya tiada autoriti pada pemimpin, kepuasan kerja kakitangan tidak memuaskan kerana hanya sebilangan kakitangan sahaja yang melakukan kerja dengan baik. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka yang melakukan kerja dengan baik dan sedikit sebanyak akan mempengaruhi gaya kerja mereka pada jangka masa panjang.

Merujuk kepada organisasi formal seperti di sekolah, guru besar atau pengetua bertanggungjawab dalam memastikan proses kurikulum dan kokurikulum berjalan dengan lancar. Sekiranya mereka tidak mempunyai autoriti, mereka tidak dapat memberi arahan dan guru tidak bertanggungjawab untuk menerima arahan itu. Begitu juga dengan para pelajar. Maka pengetua ini tidak dapat mengawal guru dan pelajarnya. Guru akan melakukan tugas-tugas yang tertentu yang dirasakan penting kepada dirinya dan bukan kepada organisasi iaitu sekolah. Akibat tiada pengawasan daripada pemimpin kerana ketiadaan autoriti, prestasi kakitangan amat mengecewakan kerana tidak dipimpin oleh seorang ketua yang membentuk cara dan gaya kerja yang seragam serta mendapat kerjasama dari semua kakitangan dalam organisasi tersebut. Pemimpin juga tidak boleh mengarah untuk menambah kesanggupan dan usaha kakitangannya ke tahap paling maksimum. Oleh itu, organisasi itu dikatakan tidak berjaya. Organisasi yang berjaya mempunyai kerjasama di antara pemimpin dengan orang yang dipimpin. Oleh sebab autoriti mempunyai kaitan rapat dengan kuasa, Maka sekiranya autoriti tidak terdapat dalam organisasi formal seperti di sekolah, pejabat dan lain-lain, perlaksanaan kuasa bagi seorang pemimpin adalah amat sukar terutama sekali pemimpin yang menggunakan kuasa paksaan sebagai kuasa utama. Selain itu, fungsi organisasi seperti matlamat, pembahagian tugas, perlaksanaan tugas dan sistem hierarki akan terjejas. Secara kesimpulannya, autoriti penting kepada organisasi formal kerana menentukan keberkesanan organisasi. Tanpa autoriti seorang ketua tidak dapat mengawal dan membentuk kakitangannya serta melaksanakan kuasa yang ada padanya.

0 ulasan: