Rabu, 2 November 2011

Peta Minda

Peta minda telah diasaskan oleh Tony Buzan pada awal 1960an.  Ia digunakan untuk membantu pelajar membuat nota dengan hanya menggunakan kata kunci dan juga imej.   Ianya lebih pantas dibuat kerana kualiti visualnya lebih mudah untulk dilihat dan diingati. Sifatnya yang tidak berstruktur memudahkan fakta-fakta di dalamnya dihubungkaitkan.  Sebagai penulis dan juga konsultan pendidikan, Tony Buzan (1942) mengutarakan teknik peta minda dan literasi mental.  Dilahirkan di London, beliau amat terkenal dengan bukunya yang bertajuk “Use Your Head”  yang mengetengahkan sistem mnemonik dan juga teknik peta minda.  Buzan telah membina peta minda semasa di universiti akibat kekecewaannya terhadap kaedah catatan nota secara tradisional yang memerlukan masa yang lama untuk dihasilkan dan dibaca.  Beliau  berdebat menyatakan bahawa peta minda merupakan kaedah yang lebih efisien untuk mengambil dan menyalin nota.  Abangnya, iaitu Barry Buzan, seorang professor di  London School of Economics, menggunakan peta minda dan kebanyakan bukunya sebagai rujukan bagi persediaan untuk syarahannya.  Antara buku yang ditulis oleh Buzan adalah,  “Use Your Memory”, “Master Your Memory”, “Use Your Head”, “The Speed Reading Book” and “The Mind Map Book”. Secara umumnya, beliau telah menulis lebih daripada seratus buah buku. Pada Disember 2006, beliau telah melancarkan perisian yang dikenali sebagai iMindMap sebagai sokongan kepada teknik peta mindanya. 

Dalam satu tinjauan lain pula, peta minda dikatakan mempunyai pertalian dengan “advanced organiser” seperti yang dicadangkan oleh David Ausubel.  Ini adalah kerana, teori yang dikemukakan oleh Ausubel, sama  seperti Gagne, mencadangkan supaya guru mengaturkan kemudahan pembelajaran yang terbaik untuk pelajar.   Di dalam teori Ausubel, pengetahuan disusun secara hirarki, dimana maklumat baru yang bermakna boleh dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada.
   Ausubel menekankan bahawa pembelajaran bermakna adalah bertentangan dengan hafalan, penerimaan atau pun penemuan.  Sama seperti advanced organizer, penggunaan peta minda juga tidak menggalakkan murid menghafal konsep atau fakta sebaliknya  menguruskan maklumat yang diperolehi dengan lebih tersusun.

Dalam tulisannya di dalam Utusan Malaysia, bertajuk Kepentingan Penggunaan Peta Minda, Dr Ismail Zain menyatakan bahawa pelbagai penyelidikan telah dibuat untuk membentuk dan menyusun strategi pembelajaran yang lebih berkesan terhadap pelajar-pelajar. Pembelajaran secara hafalan memerlukan daya ingatan yang kuat, tetapi ianya tidak dapat membentuk insan yang kritis dan kreatif malah ianya tidak sesuai di zaman yang serba maju ini.

Sebagai seorang insan, Allah telah mengurniakan kepada kita pancaindera yang mempunyai pelbagai fungsi.  Pancaindera ini amat peka serta amat responsif terhadap apa-apa rangsangan yang berkaitan dengannya.  Mata merupakan salah satu pancaindera yang amat penting bagi seseorang insan. Sebagai contoh, mata yang berfungsi untuk penglihatan akan merangsangkan tindakan seseorang itu apabila ianya melihat sesuatu yang dapat memberi sesuatu makna kepada dirinya. Objek yang dilihat melalui mata akan menghasilkan sesuatu mesej melalui interpretasi yang dibuat di bahagian otak.  Mesej yang dihasilkan akan menjadi mudah dan jelas sekiranya pancaindera yang ada pada seseorang individu itu dirangsang dengan cepat.

Oleh itu dalam proses pembelajaran seseorang itu perlulah menyusun strategi agar segala isi pelajaran yang diperolehi dapat diproses oleh otak dengan lebih mudah.   Kaedah yang paling sesuai digunakan untuk untuk membantu otak mengekal dan meningkatkan keberkesanannya  adalah peta minda.  Penganalisaan data melalui pemetaan minda merupakan salah satu cirri-ciri yang terdapat di Sekolah Bestari.  Maka guru seharusnya memahirkan diri dan berusaha memperkenalkan kaedah peta minda ini kepada para pelajar.
   
   Beberapa kajian terdahulu telah dijalankan terhadap kesan penggunaan peta minda di dalam pembelajaran.  Didapati rata-rata pelajar menunjukkan kesan yang positif terhadap penggunaan peta minda.  Kajian-kajian  tersebut telah dijalankan pada pelbagai peringkat pembelajaran dan juga bidang yang berbeza.
           
         Azizah Abdullah dalam kajiannya yang bertajuk “Keberkesanan penggunaan peta konsep dalam mata pelajaran sains di kalangan pelajar tingkatan satu”, mendapati daripada seramai 58 orang pelajar yang terlibat dengan kajian,  kumpulan yang menggunakan peta konsep berlaku peningkatan pencapaian sains berbanding kumpulan yang tidak menggunakan peta konsep. Dapatan kajian juga menunjukkan pencapaian kumpulan pelajar yang diajar menggunakan peta konsep adalah lebih tinggi berbanding kumpulan yang diajar menggunakan kaedah biasa. Kajian juga menunjukkan penerimaan pelajar terhadap peta konsep adalah positif. Mereka ingin belajar, suka mengikuti pelajaran sains, suka membuat latihan dan merasakan pelajaran sains amat menyeronokkan, mudah dan realistik. Dapatan tentang kesediaan pelajar menunjukkan pelajar berupaya menggunakan peta konsep dalam mempelajari sains, yakin serta mampu memanipulasi dan menggunakan peta konsep dalam mengulangkaji pelajaran sains. Kesediaan pelajar adalah pada tahap sederhana. Oleh itu berdasarkan dapatan kajian bolehlah dikatakan bahawa penggunaan peta konsep adalah kaedah alternatif yang boleh digunakan secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran sains.
             
             Satu kajian lain telah dijalankan oleh sekumpulan pelajar dari Kolej Matrikulasi Melaka berkaitan “Penggunaan Peta Minda Bagi Matapelajaran Matematik Di Kalangan  Pelajar Perakaunan” juga turut menunjukkan kesan yang positif terhadap penggunaan Peta Minda.  Melalui kuiz-kuiz dan ujian yang dijalankan, data-data diperolehi dan seterusnya dianalis.  Keputusan analisis mendapati bahawa kumpulan sasaran telah menunjukkan peningkatan yang ketara semasa ujian kuiz kedua dan peperiksaan UPS. Seterusnya perbandingan juga dijalankan keatas keputusan peperiksaan akhir semester 1 dan semester 2. Hasil dapatan juga mendapati peningkatan  yang ketara bagi kumpulan sasaran. 
            
             Dalam kajian lain yang dijalankan oleh pelajar Jabatan Matematik, Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia Skudai Johor, turut mencadangkan penggunaan peta minda untuk mengoptimumkan aplikasi otak kanan dalam pembelajaran dan pengajaran sains matematik dan kejuruteraan di peringkat IPTA.  Ini memandangkan hasil kajian mendapati, peta konsep yang terhasil daripada otak kanan dapat membantu pelajar yang dilihat ”takut dan gerun” untuk menyelesaikan masalah dalam bidang ini di peringkat IPTA.
           
             Hasil daripada kajian-kajian ini menunjukkan bahawa peta minda merupakan satu alat berfikir yang sangat berguna dan seharusnya diaplikasikan oleh semua pelajar pada semua peringkat di dalam semua bidang pembelajaran. 
Sumber : Cikgu Mohamad Omar

1 ulasan:

cikgu det berkata...

Bagus, saya share diblog saya..