Isnin, 1 Ogos 2011

Membaca dan Kepentingannya di Kalangan Para Pendidik

Membaca adalah satu budaya ilmu yang memupuk pembangunan intelektual, rohaniah dan emosi individu. Membaca membangunkan kecerdikan intelektual seseorang individu, justeru membentuk fikirannya menjadi lebihkritis dan kreatif dan akhirnya akan melahirkan masyarakat yang progresif dan berdaya saing. Membaca juga dapat meningkatkan kecerdikan rohani dan emosi yang menjadikan seseorang individu tersebut sedar akan kepentingannya menyumbang ke arah pembangunan masyarakat dalam pelbagai bidang kehidupan. Hal yang demikan ini terbukti daripada banyak negara yang maju, rakyatnya adalah daripada golongan individu yang gemar membaca dan menjadikan membaca sebagai satu aktiviti yang wajib dalam kehidupan (US Department of Education, 2002).

Bagi menjadi negara yang maju, anggota masyarakat tersebut perlu menambah ilmu pengetahuan. Hanya ilmu pengetahuan yang tinggi dapat mendokong pembangunan fizikal dan intelektual. Ilmu pengetahuan dapat meningkatkan akal dan fikiran manusia dan meningkatkan darjatnya dalam masyarakat. Berasaskan ilmu pengetahuan inilah individu dalam sesuatu masyarakat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang anggota untuk memajukan dirinya sendiri, keluarga dan seluruh masyarakatnya (Hiebert, Gallimore, & Stigler, 2002). Kegagalan untuk memenuhi tanggungjawab ini akan menjadikan manusia tidak berbeza dengan makhluk yang lain di muka bumi ini.

Golongan pendidik sebagai seorang individu yang amat penting dalam masyarakat seharusnya terlibat secara aktif dalam pemupukan budaya ilmu. Seorang pendidik perlu mengamalkan budaya mengumpul dan mencungkil ilmu baru untuk digunakan dalam tugas mendidik. Pendidik perlu meningkatkan kepakaran dalam sesuatu bidang yang diajamya dari semasa ke semasa dan mesti sentiasa peka terhadap perubahan yang berlaku dalam bidang kepakaran tersebut. Seorang pendidik juga patut terlibat secara lang sung dalam pemupukan budaya ilmu menerusi kegiatan membaca yang serius. Pendidik bertanggungjawab menyebar ilmu pengetahuan dan mengasuh kemahiran di kalangan pelajar, dan perlu memupuk dirinya sendiri terhadap segala aspek bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dengan banyak membaca. Pendidik wajib menjadi contoh kepada para pelajar untuk membuktikan bahawa budaya membaca dapat menjadikan seseorang individu itu mempunyai kelebihan mengatasi individu yang lain. Para pendidik harus menjadi model kepada para pelajamya dengan menunjukkan bahawa membaca dapat meningkatkan daya intelektual dan keperibadian seseorang (Freeman, 2002).

Bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang menjadikan membaca sebagai amalan hidup bukan suatu tugas yang mudah. Tugas ini sebahagian besarnya terletak di bahu para pendidik yang menjadi model dalam menanamkan minat membaca, terutamanya di kalangan generasi muda. Para pendidik sendiri perlu mempunyai minat membaca yang mendalam bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dan bagi menambah pengetahuan am tentang dunia dan kehidupan.

Sumber : Jurnal Pendidikan 2004, Universiti Malaya.

0 ulasan: