Ahad, 22 Mei 2011

Teori X dan Teori Y

Teori X dan teori Y oleh McGregor (1960), merupakan salah satu daripada teori motivasi yang popular, mengandaikan manusia terbahagi kepada dua kumpulan atau kategori yang berbeza. Dalam konsep pengupayaan, kita melihat manusia dari kumpulan kedua iaitu teori Y yang menjelaskan bahawa seseorang pekerja itu mempunyai ciri-ciri hidup yang positif (keupayaan untuk membimbing dan mengawal diri; sanggup menerima tanggungjawab; mampu membuat keputusan yang inovatif). Bermatlamat, bermotivasi dan komitmen kerja yang tinggi. Teori Y menyarankan manusia mempunyai potensi untuk menjadi pekerja yang bermotivasi tinggi jika kepercayaan yang lebih diberikan kepada mereka, seperti mendapatkan pandangan dari pekerja berkenaan dengan pengurusan organisasi dan member kerja dan tanggungjawab yang lebih mencabar kepada mereka supaya motivasi kerja dapat ditingkatkan.

Selain itu, stail pengurusan yang memberi peluang kepada pekerja untuk turut serta dalam proses membuat keputusan tentang organisasi, ataupun kerja mereka sendiri dapat meningkatkan moral dan prestasi kerja (Ahmad Shukri, 2002). Keadaan ini lebih praktikal apabila pekerja/tugas semakin mengkhusus dan kompleks adalah tidak mungkin pihak pengurus (pengetua) dapat mengetahui secara terperinci tentang apa yang dilakukan oleh pekerja (gurunya). Sudah pasti pekerja-pekerja lebih mengetahui tentang tugas yang mereka lakukan dan apakah sepatutnya dan perlu mereka lakukan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan kerja dalam organisasi. Walau bagaimanapun khidmat nasihat dan pemantauan oleh pihak pengurusan perlu dilakukan seiringan untuk menjaminkan proses sesuatu tugas yang telah diberikan itu dapat berjalan dengan lancar dan jaya atau mengenal pasti masalahnya lebih awal untuk diambil tindakan segera.

Andaian Teori X menjadi asas kepada gaya kepimpinan autokratik dan berorientasikan tugas.
i. Manusia tidak gemar bekerja dan akan cuba mengelakkannya.
ii. Pekerja mesti dihukum, dikawal, diarah dan diancam jika matlamat organisasi hendak dicapai.
iii. Manusia tidak bertanggungjawab, mesti dikawal, malas dan hanya mahukan keselamatan.

Andaian Teori Y menjurus kepada kepimpnan demokratik dan berorentasikan
pekerja.
i. Manusia rela bekerja apabila keadaan merangsangkan.
ii. Pekerja akan berusaha mencapai matlamat organisasi.
iii. Manusia adalah komited dan bersedia memikul tanggungjawab.
iv. Ramai pekerja memiliki kebolehan menyelesaikan masalah organisasi.
v. Potensi keintelektualan manusia tidak digunakan sepenuhnya.

0 ulasan: