Sabtu, 21 Mei 2011

Kepentingan Pengurusan Kemanusiaan Dalam Organisasi


Secara umumnya, sekolah adalah satu organisasi yang mempunyai corak kuasa yang formal, peraturan, dan prosedur rasmi bertujuan mencapai matlamat pendidikan berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dalam aktiviti sesuatu organisasi, interaksi sosial individu dengan kumpulan mewujudkan jalinan hubungan yang tidak formal dan normal yang tidak rasmi. Aspek formal dan tidak formal dalam kegiatan sesuatu organisasi sebenarnya saling berkaitan (Dessler,1998).

    Struktur susunan organisasi adalah dirangka supaya dapat beroperasi dengan efektif. Kajian ke atas beberapa organisasi mendapati organisasi perlu memenuhi matlamat, menggalakkan pertumbuhan, memberi moral yang tinggi kepada pekerja melalui interaksi dan komunikasi (Rahim, 1994). Menurut Husna (1999), pengurusan sumber manusia membantu mewujudkan saluran komunikasi terbuka di antara pekerja dengan majikan dan dorongan tercetusnya idea-idea baru yang kreatif serta berunsurkan penyelesaian masalah. Oleh itu, dalam organisasi sekolah, pentadbir perlu mengutamakan pertimbangan dalam menguruskan guru dan komunitinya melalui amalan demokrasi yang berasaskan pertimbangan dan tumpuan terhadap perhubungan nilai-nlai kemanusiaan (Omardin, 1997).



    Stail budaya organisasi-organisasi yang cemerlang melalui Pengurusan kualiti Menyeluruh (TQM) amat menitikberatkan penglibatan subordinat secara komited. Budaya ini menyokong memertabatkan status pekerja serta menggalakkan penglibatan mereka secara serius kerana komitmen adalah penjana kepada kemajuan yang berterusan dalam industri (Roth, 1997). Kemampuan subordinat untuk mempamirkan potensi dan kreativiti mereka terhadap organisasi amatlah membanggakan (Besterfield, Michna, Besterfield & Sacre, 1995), dalam huraian menyatakan :

i.    Para pekerja membuat keputusan yang lebih baik menggunakan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang yang mereka lebih arif;
ii.    Para pekerja menyokong penuh keputusan yang mereka buat kerana mereka telah menjadi sebahagian daripada anggota yang terlibat;
iii.    Para pekerja mampu mengetahui dan mengesan ruang-ruang untuk pemulihan dan pembaikan;
iv.    Para pekerja mampu melaksanakan tindakan pemulihan dengan kadar segera; dan
v.    Para pekerja dapat mempertingkatkan etika moral dan esteem diri serta lebih mempunyai rasa kekitaan terhadap organisasi.
    Oleh itu, kepentingan kepentingan sumbangan yang diperoleh melalui kebolehan, kepakaran yang ada pada manusia diakui dapat mencorakkan perubahan. Keadaan ini ditambahkan lagi dengan kesungguhan, minat serta bakat yang menjadi teras pegangan untuk mereka menyumbang khidmat.

    Satu lagi faktor dapatan kajian Hawthorne adalah peningkatan tahap motivasi dikalangan pekerja. Kekuatan motivasi diri yang disemai pada setiap pekerja menjadikan mereka sangat komited dan mampu mengawal tahap produktiviti yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan (Thomas & Velthause, 1990). Keberkesanan menangani aspek pembangunan kerjaya yang diceburi oleh setiap anggota organisasi akan menjadikan mereka rasa terjamin untuk mempamerkan prestasi kerja yang tinggi dan mereka mendapat kepuasan apabila melaksanakannya (Rinehart & Short, 1994).

    Kehidupan manusia di dalam sesebuah organisasi, menjelaskan kepentingan keperluan psikologi sosial adalah faktor utama yang menjadi keperluan di kalangan individu sesama individu, sesama kumpulan kerja, dan juga antara kumpulan dengan kumpulan lain. Senario yang dihadapi oleh para pengurus masa kini jelas mendorong mereka untuk memahami hubungan yang lebih profesional dan berfokuskan norma-norma kemanusiaan untuk menjana semangat dan kerjasama daripada anggota organisasi. Idealogi yang menjurus kepada hubungan manusia semakin tersebar dan dijadikan teras dalam pendekatan dan strategi mengurus sesebuah organisasi yang berkesan (Mahmood & Sabitha, 1995).

0 ulasan: