Rabu, 9 Februari 2011

Budaya dan iklim sekolah

Soalan (a)

Pengenalan
Budaya sekolah dan iklim sekolah merujuk kepada sejumlah nilai, budaya, praktis-praktis keselamatan dan struktur organisasi di sekolh yang mempengaruhi dan memberi kesan kepada proses pembentukan tingkah laku dan keselamatan pelajar di sekolah. Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), keterbukaan dan bentuk hubungan yang wujud antara pentadbir, guru, ibu bapa dan pelajar menyumbang kepada pembentukan iklim sekolah. Walau bagaimana pun, budaya sekolah dan iklim sekolah adalah dua bentuk yang saling berkaitan. Namun begitu, iklim sekolah lebih merujuk kepada kesan persekitaran sekolah ke atas pelajar manakala, budaya sekolah lebih merujuk kepada cara dan gaya guru dan staf bekerja dalam satu kumpulan.

Budaya Sekolah
Terry Deal dan Kent Peterson (1993) mentakrifkan budaya sekolah sebagai "realiti dalaman". Robbins dan Alvy (1995) pula meluaskan definisinya sebagai "This
inner reality reflects what organizational members care about, what they are willing to spend time doing, what and how they celebrate, and what they talk about."
Manakala Gary Phillips (1993) menyatakan budaya sekolah sebagai,"beliefs,attitudes, and behaviours that characterizes a school in terms of: how people treat and feel about each other; the extent to which people feel included and appreciated; and rituals and traditions refelecting collaboration and collegiality."

Budaya sekolah merupakan sebahagian budaya masyarakat kerana sekolah itu lahir daripada keperluan masyarakat.Semua pelajar sekolah terus didedahkan kepada norma, nilai, simbol dan bahasa yang akan mencorak masa depan mereka. Budaya sekolah ialah budaya yang dihasilkan oleh sebahagian pelajar dan sebahagian lagi oleh golongan tertentu supaya aktiviti pelajar dapat dikawal. Pendidikan nilai amat diutamakan.Pembudayaan di sekolah dilaksanakan menerusi kurikulum formal dan kurikulum tidak formal.

Budaya formal sekolah adalah apa yang telah dirancang seperti aktiviti kurikulum dan kegiatan kokurikulum. Pelajar yang pandai dan aktif akan mendapat sanjungan puhak guru dan sekolah. Manakala pelajar yang lemah dan kurang cerdik akan tesisih. Budaya ini menyebabkan pelajar ini akan melakukan gelaja negatif bagi menarik perhatian pihak tertentu atau pun untuk melepas naluri yang terhimpit. Mereka bebas memilih budaya-budaya yang dianjurkan oleh rakan sebaya, media massa atau keluarga.Sekiranya mereka memilih budaya negatif, maka akan wujudlah masalah sosial.

Di dalam budaya sekolah ini, terkandungnya corak idea, norma, pemikiran, dan nilai-nilai yang menyumbang kepada pembentukan kelakuan individu. Guru Besar dan Pengetua sebagai ketua di sekolah haruslah mempelopori atau menjadi juara sesuatu budaya yang positif dan kesannya, ini akan menjadi ikutan dan akan dikenang sepanjang zaman. Terdapat beberapa contoh budaya yang perlu disemai seperti Budaya Penyayang, Budaya hormat-menghormati, Budaya berani menyoal dan Budaya Membaca. Setiap budaya yang dinyatakan perlulah diiringi dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan contohnya Budaya Membaca dimana, Projek Nilam diadakan pada setiap hari sebelum sesi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dijalankan. Di dalam Projek Nilam ini, setiap pelajar yang telah habis membaca sesebuah buku, haruslah mencatat laporan ringkas buku yang telah dibaca itu tadi.


Iklim Sekolah
Iklim Sekolah ialah sifat dan suasana yang ada di sekolah yang membezakannya dengan sekolah yang lain. Sifat dan suasana yang ada di sekolah adalah hasil interaksi antara guru dan pelajar serta masyarakat yang terdapat di dalam sekolah tersebut secara keseluruhannya.

Mengikut Moss(1979), beliau mendefinisikan bahawa Iklim Sekolah sebagai suatu sistem sosial yang membentuk persekitaran pembelajaran. Fenomena ini berlaku adalah kerana pelajar dari pelbagai latar dan pengalaman yang berbeza berada di dalam satu kumpulan di mana tingkah lakunya banyak bergantung kepada bentuk protokol yang diwujudkan oleh pentadbir dan guru-guru.

Iklim Sekolah sangant mempengaruhi perkembangan pelajar, terutamanya melalui pengenalan konsep kendiri, keberkesanan keupayaan bekerja dan kemampuan membina hubungan yang baik dengan orang lain. Pengaruh sekolah memainkan peranan utama selepas keluarga dalam pembentukan personality pelajar. Ada juga sesetengah pelajar menganggap sekolah merupakan pengganti keluarga. Pengaruh guru dan rakan sebaya meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri pelajar. Oleh yang demikian , peranan iklim sekolah amat bersangkut paut dengan personaliti dan perkembangan kecemerlangan akademik pelajar serta keberkesanan sesebuah organisasi sekolah itu sendiri

Ringkasnya iklim sekolah adalah suasana yang menggambarkan sekolah yang teratur, terkawal, tenang, dan tertib yang memungkinkan atau menyediakan satu suasana yang kondusif kepada proses pengajaran dan pembelajaran berkesan dan positif, bukan suasana sebaliknya seperti riuh-rendah ikut suka, kelam-kabut, hingar-bingar dan seumpamanya.

Sekolah yang berkesan perlu mempunyai budaya dan iklim pengurusan yang baik. Setiap sekolah perlu membina budaya dan iklim yang bersesuaian dengan matlamat dan persekitaran sekolah tersebut. Berikut merupakan situasi-situasi yang menunjukkan terbentuknya budaya dan iklim sekolah. Antaranya ;
Perhubungan Interpersonal
Berdasarkan instrumen profil iklim sekolah, guru-guru dan pelajar mempunyai hubungan interpersonal yang lebih positif. Guru mempunyai semangat kekitaan terhadap sekolah dan bangga menjadi guru di sekolah tersebut. Mereka sentiasa memandang ke hadapan dalam usaha mereka dalam meningkatkan profesionalisme mereka. Pelajar-pelajar pula merasa seronok menjadi pelajar di sekolah itu.
Pengajaran dan Pembelajaran
Pengajaran dan pembelajaran dianggap sangat penting oleh guru dan juga pelajar. Walaupun mereka mengamalkan panduan kurikulum yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan, guru dibenarkan menggunakan kreativiti semasa mengajar. Pelajar mengikuti aktiviti pengayaan mengikut keupayaan masing-masing. Guru di sekolah berkesan adalah inovatif dalam pengajaran dan amalan penilaian mereka.

Kepimpinan Pentadbiran
Pengetua di sekolah berkenaan mempunyai polisi pintu terbuka di mana idea daripada guru dan juga pelajar di ambil kira untuk dipraktikkan. Pengetua melibatkan staf dalam pembuatan keputusan. Pengetua juga sentiasa memberi sokongan kepada guru terhadap amalan penghajaran mereka dan menggalakkan mereka menggunakan inovasi dalam kerja seharian mereka. Pihak pentadbiran mempunyai program pembangunan staf untuk menggalakkan perkembangan profesional dikalangan mereka. Pelajar di sekolah berkesan digalakkan bekerjasama dalam aktiviti pembelajaran mereka..

Kemudahan Fizikal
Pelajar dan guru disekolah merasa sangat selesa ketika berada di perkarangan sekolah. Persekitaran sekolah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur. Sekolah yang berkesan mempunyai ruang yang mencukupi untuk pengajaran dan pembelajaran. Pelajar dan guru berbangga dengan kemudahan fizikal yang mereka ada dan sentiasa menolong untuk mengekalkan keadaan kemudahan tersebut dalam keadaan yang sehabis baik.


Pencapaian Pelajar
Pencapaian pelajar dikesan secara sistematik melalui pengesanan yang teratur iaitu setiap pengetua dan guru mengawasi kemajuan murid berpandukan kepada kehendak dan objektif pengajaran. Pelajar digalakkan bertanggung jawab sepenuhnya menguruskan kegiatan seharian mereka seperti menjaga alat-alat kemudahan sekolah dan buku mereka. Sementara kerja rumah dan latihan diperbanyakkan dan diperiksa oleh guru. Keutamaan adalah terhadap prestasi akademik yang tinggi dan murid digalakkan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya. Murid yang berjaya akan diberi penghargaan setrta maklum balas yang cepat dan berterusan terhadap prestasi murid berkenaan.
Pelajar-pelajar juga memainkan peranan penting berbanding guru. Oleh itu, sekolah perlu beri keyakinan kepada murid bahawa mereka bertanggung jawab sepenuhnya terhadap pelajaran mereka.

Disiplin Sekolah
Pelaksanaan disiplin atau peraturan sekolah adalah penting untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selesa dan harmonis. Sekolah mempunyai suasana disiplin yang teratur tanpa perlu membina peraturan ketat, tenang tanpa penindasan yang secara amnya adalah selesa untuk suasana proses pembelajaran.
Untuk membentuk budaya sekolah yang berdisiplin, pelajar-pelajar di sekolah berkenaan perlulah diterapkan dengan nilai-nilai murni. Nilai murni akan membentuk membentuk peribadi dan sahsiah pelajar yang cemerlang dan seterusnya masalah disiplin di sekolah dapat diatasi. Ini kerana ada juga sesetengah pihak yang mengukur disiplin pelajar sebagai ukuran output sesuatu sekolah itu.
Seperti yang kita sedia maklum, selalunya jika sesebuah sekolah mengalami masalah disiplin, ini akan menjejaskan reputasi pengetua, guru-guru, pelajar dan sekolah itu sndiri. Kadang kala masalah disiplin yang di alami disekolah inmi disusuli pula dengan prestasi pencapaian pelajar yang teruk terutamanya dalam peperiksaan utama seperti SPM dan PMR. Keadaan ini akan menjejaskan imej dan kepercayaan masyarakat terhadap sekolah berkenaan

Pembentukan budaya dan iklim sekolah
Budaya dan iklim sekolah boleh dibentuk dengan cara;

Menghargai permuafakatan
Semua guru mesti mengambil berat terhadap 'kesihatan' sekolah sebagai organisasi. Permuafakatan dapat menghindarkan keterasingan guru, sikap pentingkan diri sendiri sehingga tidak mahu mengakui wujudnya masalah atau tidak mahu melihat masalah orang lain. Dengan permuafakatan guru-guru bersama-sama menyelesaikan masalah dan membuat keputusan di samping menghargai kesaling-bergantungan dan bantu-membantu sesama staf.

Mengamalkan nilai kesejawatanan
Di dalam sesebuah organisasi manusia tidak bekerja seorang diri, apa pun tugas dan peranannya seseorang itu tetap perlukan orang lain membantunya atau terlibat sama. Kesejawatanan atau "collegiality" bermaksud satu budaya kerja yang ada kaitannya dengan perpaduan, kerjasama, bantu-membantu, hormat-menghormati, nasihat-menasihati atau tegur-menegur di antara ahli-ahli kumpulan atas dasar profesionalisme. Jadi pemimpin yang berkesan mestilah berkeupayaan mewujudkan suasana kesejawatanan ini di kalanngan guru-gurunya, mengekalkan suasana harmoni dan perpaduan sepanjang masa di samping mengelakkan dan mencegah unsur-unsur kronisme, nepotisme, favouritisme, rodongisme, pilih-kasih, berat sebelah, adu-domba, fitnah-memfitnah, hasad dengki, dan iri hati; di dalam interaksinya dengan staf dan kakitangan lain di sekolah

Guru-guru berkeyakinan tinggi
Guru-gurunya penuh yakin dalam tugasnya setiap hari, mereka lebih bersedia menerima cabaran-cabaran, mengambil risiko, dan melahirkan idea-idea kreatif serta rumusan-rumusan. Ekoran daripada keyakinan ini akan wujud optimisme dan iltizam.Tempat kerja menjadi lebih menyeronokkan sementara guru-guru mendapat penyempurnaan dan kepuasan profesionalisme daripada kerja-kerja mereka menerusi kawalan kepada penyelesaian masalah dan membuat keputusan, sokongan dari rakan sejawat dan bertambahnya peluang-peluang belajar dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta kepakaran.

Ada komitmen yang tinggi
Komitmen adalah satu sikap diri yang ditunjukkan dalam segala tingkah-laku dan cara berfikir seseorang dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. Komitmen yang tinggi terhadap kelangsungan organisasi dan kebajikan murid umpamanya dapat dilihat daripada perilaku guru-gurunya yang datang awal, mengajar dengan semangat, tidak curi tulang, tumpuan kepada kerja dan mutu kerja, menepati masa dan paling utama meletakkan kepentingan organisasi mengatasi kepentingan peribadi. Orang-orang yang berkomitmen yang tinggi juga sentiasa dapat mematuhi dan menepati norma-norma organisasi atau masyarakat sama ada norma-norma yang tersurat atau pun yang tersirat.

Soalan (b)
Budaya sekolah ditakrifkan sebagai cara hidup sekolah yang meliputi segala amalan sekolah sama ada di luar dan di dalam bilik darjah. Budaya sekolah mencerminkan nilai, kepercayaan dan norma yang dikongsi bersama oleh warga sekolah. Terdapat aspek-aspek budaya sekolah yang diwarisi dan ada juga yang dibentuk oleh warga sekolah itu sendiri dengan tujuan supaya budaya sekolah yang positif dapat dibentuk. Sebenarnya, pembentukan budaya sekolah yang positif juga boleh dilakukan dengan pelbagai jenis aktiviti-aktiviti contohnya ;


PROGRAM SEKOLAH SELAMAT
Program Sekolah Selamat dilancarkan di sekolah-sekolah di Malaysia bagi membendung masalah disiplin para pelajar. Warga sekolah di Malaysia bermaksud guru, pelajar, kakitangan sokongan, pentadbir sekolah, kaunselor dan sebagainya.
Setiap warga sekolah mestilah mempunyai kesedaran tentang keselamatan dan diterjemahkan melalui sikap dan tingkahlaku sensitif, prihatin dan tanggungjawab profesional untuk menjamin suasana pembelajaran dapat berjalan dengan baik

PROGRAM GOTONG-ROYONG PERDANA
Gotong-royong Perdana telah diadakan pada 14 Februari 2009 hari sabtu jam 8.00pagi-12.00 tengahari di sekolah. Para guru dan pelajar-pelajar dibahagikan kepada 6 kumpulan. Kumpulan 1 bertugas membersihkan kawasan padang termasuk belakang kantin, kumpulan 2 bertugas mengecat garisan keselamatan kuning di tepi longkang, tangga dan mana-mana tempat yang dianggap bahaya kepada murid.Kumpulan 3 bertugas mengecat dan membersihkan surau dan kawasan sekelilingnya. Kumpulan 4 pula membersihkan kawasan bengkel pertanian dan tapak petanque. Kumpulan 5 bertugas membersihkan tumbuhan menjalar di pagar sekeliling sekolah. Manakala kumpulan 6 pula mengemaskini papan-papan kenyataan serta membersihkan bilik-bilik khas. Selepas aktiviti gotong-royong diadakan, kawasan sekitar sekolah telah menjadi bersih dan ceria.

KURSUS KEMAHIRAN MAKLUMAT
Kursus Kemahiran Maklumat untuk pelajar Tahun 3 hingga Tahun 6 telah diadakan pada 16-17 Januari 2009. Objektifnya adalah untuk memberi input kepada pelajar berkaitan cara terbaik untuk mencari maklumat di pusat sumber. Dalam kursus ini, pelajar telah diberikan taklimat tentang kaedah pencarian maklumat serta peraturan asas dalam penggunaan Pusat Sumber. Kursus ini telah berjaya membimbing pelajar mencari maklumat secara lebih berfokus dalam Pusat Sumber Sekolah

HARI TERBUKA
Hari Terbuka telah diadakan pada 27 Jun 2008(Jumaat) bermula dari 8.00pagi sehingga 12.00 tengahari. Ibubapa atau penjaga pelajar telah datang ke sekolah untuk mengambil slip keputusan anak jagaannya. Pada hari inilah, guru tingkatan berkesempatan untuk berbincang dengan mereka tingkah laku anak jagaannya di sekolah cara-cara bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar sekolah. Hari Terbuka tahun ini mendapat sambutan yang baik.

MAJLIS PERASMIAN HARI KOPERASI SEKOLAH
Perayaan Hari Koperasi Sekolah (HKS) telah mula disambut sejak tahun 1995. Sambutan ini diadakan bertujuan untuk memberitahu kepada warga sekolah dan masyarakat setampat akan kewujudan koperasi sekolah dan peranan yang dimainkan untuk mendidik para pelajar supaya mempunyai jatidiri yang murni selaras dengan prinsip, nilai dan amalan koperasi. Bagi tahun 2008, HKS disambut di peringkat sekolah dan melibatkan penyertaan yang menyeluruh di kalangan para pelajar, anggota koperasi, guru-guru, kakitangan sekolah dan masyarakat setempat. Tema HKS tahun lepas ialah "Koperasi Sekolah Memupuk Keusahawanan". Beberapa aktiviti bukan pertandingan dijalankan sepanjang perayaan Hari Koperasi (23-27 Jun 2008) iaitu jualan penghabisan stok, penanaman pokok, penyebaran informasi mengenai koperasi dan cabutan bertuah, manakala aktiviti yang dipertandingkan ialah kuiz koperasi dan pertandingan poster.


PERKHEMAHAN PERDANA
Perkhemahan Perdana Pasukan Unit Beruniform telah diadakan pada 25-27 Julai 2008 bertempat di padang sekolah. Perkhemahan ini dianjurkan oleh Unit Kokurikulum SK Green Road. Seramai 240 pelajar mengambil bahagian dalam perkhemahan ini. Objektif perkhemahan kali ini adalah untuk membentuk disiplin diri murid dalam melaksanakan rutin harian sebagai murid yang cemerlang, melahirkan murid yang bermotivasi tinggi dalam era globalisasi serta mempunyai kualiti kecemerlangan dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan disiplin. Banyak aktiviti yang menarik telah diadakan dalam perkhmahan kali ini. Antaranya adalah seperti Flying Fox, Abseilling/Repailing, orienteering, Burma Bridge, mendirikan khemah, pertandingan memasak cara hutan, malam kebudayaan, barbecue, nightwalk dan sebagainya

MAJLIS PELANCARAN KEMERDEKAAN
Sempena bulan kemerdekaan, Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan telah diadakan pada 4 Ogos 2008. Beberapa persembahan pelajar ditunjukkan dalam majlis pelancaran ini. Para pelajar juga menyanyikan lagu patriotik "Jalur Gemilang" dan "Malaysiaku Gemilang". Aktiviti-aktiviti akan yang dipertandingkan dalam bulan kemerdekaan adalah pertandingan membuat kain rentang, pertandingan mendeklamasi sajak, pertandingan kholam, pertandingan menulis sajak, pertandingan Jigsaw Puzzle, pertandingan melukis potret tokoh, pertandingan keceriaan kelas dan sebagainya

MINGGU ANTI DADAH KEBANGSAAN
Sempena dengan Minggu Anti Dadah Kebangsaan. Sambutan Hari Anti Dadah telah berlangsung pada hari Sabtu, 5 April 2008 di dewan serbaguna SK St. James. Minggu AntiDadah adalah anjuran bersama Unit HEM dan Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan St. James. Program ini dirangka untuk mengzahirkan seruan kerajaan supaya semua pihak terlibat secara langsung dalam membanteras penyalahgunaan dadah.Dengan tema PERANGI DADAH HABIS-HABISAN dan DADAH MUSUH NO. 1 NEGARA diharapkan program ini akan mendatangkan kesedaran kepada pelajar tentang akibat buruk yang akan menimpa apabila terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Antara acara yang dijalankan adalah:
1. Ceramah kesihatan dan kesedaran dadah
2. Pertandingan Sajak Anti Dadah
3. Pertandingan Mewarna dan Melukis poster Anti Dadah.
Objektif pelaksanaan Minggu Anti Dadah Kebangsaan adalah untuk ;
1. Melahirkan warga pelajar yang menjalani hidup sihat tanpa dadah
2. Memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar tentang bahaya penyalahgunaan dadah
dan kesan-kesan yang akan dihadapi akibat penyalahgunaan dadah
3. Mewujudkan kerjasama di antara pihak sekolah dengan agensi seperti Kementerian
Kesihatan Malaysia,Agensi AntiDadah Kebangsaan dan Polis Diraja Malaysia.
4. Mendedahkan kepada pelajar-pelajar usaha-usaha yang dijalankan oleh agensi-agensi
yang terlibat dalam memerangi dadah
5. Mendedahkan kepada pelajar-pelajar tindakan undang-undang yang boleh diambil
terhadap penyalahgunaan dadah.

PROGRAM NILAM
Pada 17 Mac 2003 telah dilancarkan Program Nilam dengan rasminya oleh En Mohamad Jafar b. Ibrahim, Guru Besar SK. St.James bertempat di dataran perhimpunan sekolah. Matlamat Nilam ialah supaya terbina tabiat membaca di kalangan murid-murid. Ada dua objektif program ini dilancarkan untuk menjadikan murid banyak membaca, menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca dan membina tabiat membaca yang berkekalan di kalangan murid.

PROGRAM DISIPLIN SIFAR
1. Melahirkan dan membentuk pelajar yang berdisiplin dan bertanggungjawab serta peka dengan peraturan dan undang-undang sekolah.
2. Melahirkan seorang ahli masyarakat yang bertatasusila, bersatu padu, demokratik, adil, liberal dan progresif.
3. Melahirkan pelajar yang mengenal dan menilai diri sendiri dan orang lain secara rasional dan bijaksana.
4. Melahirkan pelajar yang menyayangi dan menghormati diri sendiri, orang lain, dan menghargai alam sekitar.
5. Melahirkan pelajar yang bersemangat tinggi, berilmu, berketerampilan serta menjadikan sekolah sebagai landasan menuju ke arah kecemerlangan hidup.
6. Merealisasikan slogan ‘Sekolahku, Rumahku’.
7. Membebaskan pelajar dari semua gejala dan pengaruh tidak baik.

BULAN DISIPLIN
Disiplin adalah teras kejayaan seseorang pelajar serta menentukan kegemilangan sesebuah sekolah itu. Memandangkan disiplin dan pelajar adalah dua unsur yang saling berkait rapat, maka Unit Disiplin sebagai agenda tahunannnya. Di harapkan dengan ‘Bulan Disiplin’ ini dapat mencerna serta meningkatkan kesedaran dan tahap disiplin para pelajar SK St.James.

Rasional pelaksanaannya
Kemantapan disiplin pelajar memerlukan satu program lebih sistematik. Berakhlak dan berdisiplin adalah satu aspek kehidupan bagi mengawal sosial yang menjamin keharmonian dan kesejahteraan hidup. Segala usaha ke arah mengukuh dan meningkatkan disiplin, seharusnya dititikberatkan baik di rumah mahupun di sekolah.

Soalan c
• Kemudahan alat tulis diberi kepada guru sebagaimana kerani sekolah dapat. Seorang kerani dibelikan pen, pemadam, komputer dan bilik berhawa dingin. Sedangkan guru yang sering menanda buku pelajar tidak diberi bantuan pen merah. Bilik guru tidak ada komputer, tidak ada kerusi empuk dan tidak ada alat hawa dingin.
• Bantuan kewangan untuk membuat alat bantu mengajar. Seringkali guru menggunakan wang sendiri untuk membuat alat bantu mengajar.
• Bilik atau meja yang selesa untuk guru. Di sekolah, guru hanya diberikan kerusi seperti kerusi murid . Sedangkan kerani sekolah dibelikan kerusi empuk.
• Lengkapkan sekolah dengan pelbagai jenis alat bantu mengajar seperti Overhead Projektor, LCD Projektor, Video Kamera, kaset, VCD, Televisyen dan sebagainya.
• Keadaan bilik kelas yang sempurna juga haruslah diambil kira seperti menggantikan lampu yang telah rosak, memperbaiki kipas syiling yang rosak, menggantikan cermin tingkap yang rosak, memperbaiki atap kelas yang bocor dan sebagainya.

KESIMPULAN
Dunia yang semakin kompetetif sesungguhnya memerlukan keberkesanan diperingkat sekolah disebabkan Malaysia akan bertaraf antarabangsa dan memerlukan kepemimpinan yang berwibawa, teknologi bertambah canggih serta ragam manusia yang berbagai-bagai. Sememangnya Kementerian Pendidikan bertekad untuk melahirkan manusia insan kamil yang seimang pembangunan rohani, emosi, jasmani dan intelek sebagaimana yang dituntut oleh Falsafah Pendidikan Negara. Manusia beginilah yang nantinya berupaya mendokong Wawasan 2020.
Akhirnya dalam usaha membina keberkesanan sekolah, reformasi atau program pembaikan sekolah haruslah merupakan tindakan pembangunan dalaman sekolah. Sememangnya dalam pelaksanaan reformasi di sekolah, penglibatan setiap masyarakat sekolah amat penting, sungguhpun tugas utama guru berkaitan dengan pengajaran dan pelaksanaan kurikulum, namun usaha meningkatkan kemajuan sekolah perlu dihayati dan ditangani bersama demi membentuk sekolah berkesan.

Menjadi seorang pemimpin di peringkat sekolah, sama ada sebagai Guru Besar, Penolong Kanan atau pun Guru Kanan Mata Pelajaran, tidak semudah yang disangka. Sifat-sifat terpuji diri peribadi berserta beberapa ciri kepemimpinan perlulah ada dan dikuasai pada tahap yang cemerlang dan tinggi supaya matlamat, misi dan visi sekolah, masyarakat dan negara dapat dicapai. Merealisasikan sebuah sekolah yang berkesan dan berwatak, dengan iklim yang positif dan budaya yang tersohor tidak mungkin dicapai dengan berangan-angan sahaja. Semua warga sekolah mestilah memahami konsep berhubung keberkesanan dan kecemerlangan in secara menyeluruh di samping menumpahkan segala komitmen dengan semangat kesejawatanan yang tinggi dalam menggarap dan mewujudkan sekolah berkesan dan berwatak.


RUJUKAN
Abd. Shukor Abdulah, (1988). Pengurusan Penyeliaan Dalam Suasana Sekolah – Isu Strategi Dalam Jurnal Kementerian Pendidikan Malaysia. XXXII (71).. m.s 10-33.
Al Ramaiah, (1995). Penyeliaan ; Satu Beban & Kemudahan. Kuala Lumpur : Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
Al Ramaiah, (1999). Kepimpinan Pendidikan : Cabaran Masa Kini. Petaling Jaya : IBS Buku Sdn. Bhd.
Barkley, William M.; et. al. (1985) bertajuk " The Impact of Practicum Supervision with vs. without Audio Tapes" , ERIC_NO: ED264478
Benjamin, R. (1981). Making School Work. New York : The Continuum Publishing Company.
Ellet, C.D., & Walberg, H.J. (1979). Principal's Competency, Enviroment, and Outcomes in H.J. Walberg (Ed), Educational Enviroment and Effects. Berkerly, Cal. : McCutchan Publishing Corporation.
Fullan, M. (1982). The Meaning of Educational Change. New York : Teacher College, Colombia University.
Ginsberg, R. (1988). Worhty Goal... Unlikely Reality : The Principal as Instructional
Glickman, Carl D. (1989). Supervision Of Instruction; A Developmental Approach. Massachusetts : Allyn & Bacon, Inc.
Hoy, W.K. & Forsyth. P.H. (1986). Effective Supervision. New York : McGraw Hill.
Hussain Mahmood, (1997). Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.
Ibrahim Mamat, (1993). Kepimpinan Sekolah. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

2 ulasan:

wa caya berkata...

Bahan anda memang baik tetapi kenapa tak bagi orang copy ? kalau nak bagi tetapi KEDEKUT tak payah ! Fahamilah konsep perkongsian ilmu sebelum anda menyebarkan ilmu. TQ

Tanpa Nama berkata...

bibliografi xde ke...mintak share